Monday, September 15, 2008

Malam Celaka

15 September 1982. Bersamaan hari Rabu. Suasana di kem ini agak sedikit huru hara. Deretan kereta kebal milik soldadu Israel berada di mana-mana. Para soldadu berjalan kaki pula sibuk menjenguk ke setiap rumah dalam keadaan siap siaga. Suasana sebegini sememangnya tidak asing lagi walaupun bagi si kecil seperti aku ini. Bukan setakat aku sahaja, masing-masing di sini sudah lali dengan pekik lolong soldadu bertempur, dentuman bom yang kadang-kadang tidak putus-putus bunyi dan bunyi percik peluru yang dimuntahkan secara marathon dari laras senapang para soldadu dan militia.


16 September 1982. Bersamaan hari Khamis. Keadaan di sekitar kem agak tenang berbanding semalam. Ramai sudah kembali semula ke penempatan ini. Baguslah kalau begitu kerana aku rindu untuk bermain dengan sahabat karibku, Fatima. Aku harap keluarga dia juga kembali ke sini. Fatima satu-satunya kawan yang aku ada untuk bermain di penempatan kem ini. Kadang-kadang Jamila, kakak Fatima turut serta bermain dan melayan karenah kami berdua ini. Mungkin dia juga bosan dan kesunyian. Serba-serbi kemungkinan boleh terjadi di sini. Jamila sangat cantik, cocok sekali dengan namanya. Aku mahu jadi secantik Jamila bila aku dewasa kelak.

+++++++++++++++++++++++++

Aku masuk tidur awal malam ini. Kenyang yang melampau. Semuanya kerana keenakan humus yang nenek masak. Walaupun hanya hidangan yang ringkas tetapi amat sedap sekali. Empat keeping roti pita aku habiskan. Siapa sangka perut si kecil seperti aku ini mampu mengisi makanan yang sebanyak itu sekali hadap sahaja. Tetapi itulah penangan humus nenek. Sayang sekali ibu tidak dapat bersama untuk menikmati humus nenek ini. Aku faham keadaan tugas ibu. Nasib baik tempat ibu bertugas, Hospital Akka tidak jauh dari penempatan kem ini. Boleh juga ibu melawat aku dan nenek bila ada kesempatan Selalunya jika ada pihak hospital yang datang membuat rawatan di sini, ibu akan turut serta kerana saat itu dia berpeluang berjumpa dengan kami di sini.

Sedang enak bermimpi, nenek kejutkan aku. Kasar sekali caranya. Hampir aku marah kepada nenek. Belum sempat bersuara, nenek menarik tangan aku pantas. Militia Phalangist kata nenek sambil kami berlari ke satu hujung sudut untuk berlindung. Malam ini malam celaka. Sama seperti malam-malam pada awal konflik. Bunyi letupan dan tembakan AK-47 kedengaran sepanjang malam. Jari jemari kasar nenek semakin erat memeluk tubuh kecil aku.

17 September 1982. Bersamaan hari Jumaat. Keadaan masih seperi semalam. Tiada langsung tanda-tanda akan reda. Mana perginya soldadu-soldadu Israel dan kereta kebal mereka? Tergamak mereka biarkan para militia Phalangist ini berpesta di penempatan ini. Sial.

Petang. Gerombolan militia Phalangist celaka itu telah berambus. Suasana masih lagik bising tetapi kali ini dengan pekik lolong dan tangis para penghuni penempatan. Mayat bergelimpangan di merata-rata dan segenap sudut. Berpesta sakan rupanya si bangsat Phalangists itu. Aku nampak Fatima. Dia terjelempuk di sisi sekujur tubuh kaku yang aku pasti adalah Jamila, kakaknya itu. Kali ini Jamila tidak macam dulu. Tidak cantik langsung. Hitam legam muka Jamila. Darah kering bersalut di badannya. Hanyir. Aku memeluk Fatima. Kami sama-sama menangis. Jamila bukan setakat di bunuh tetapi lelaki-lelaki militia yang jongos itu juga telah merogolnya dan menyeksanya. Sial. Dalam pada aku menangisi di sisi Fatima nenek datang berlari ke arah aku. Dia terus meraung bagaikan orang gila. Dalam suara esaknya nenek membisikkan kepada aku, “Militia dah bunuh semua doktor dan jururawat di Hospital Akka”. Aku rasa pandangan aku semakin kabur dan semuanya gelap. Hitam pekat.


-dedikasi untuk Sabra & Shatila.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails